
Menurut rakannya, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, sebelum kejadian, mangsa Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, sedang mandi bersama lima rakan di tengah sungai.
Katanya, mereka berkunjung ke kawasan rekreasi itu untuk berkelah sempena cuti umum.
“Sebelum kejadian saya dan enam rakan (termasuk mangsa) mandi bersama, manakala seorang lagi rakan mandi di tempat berbeza.
“Saya kemudian naik ke tebing dan ketika itu melihat Irfan bersama lima rakan mandi di tengah sungai tiba-tiba kelihatan tenggelam timbul.
“Saya terus terjun untuk menyelamatkan mereka dan berjaya menolak empat orang ke darat sebelum menyedari Irfan hilang. Seorang lagi rakan pula diselamatkan orang ramai,” katanya, menurut Harian Metro.
Katanya, dia difahamkan mangsa dan lima rakannya tidak pandai berenang biarpun sudah beberapa kali berkunjung ke kawasan rekreasi itu.
“Saya sendiri tidak sangka kedatangan kami ke sini, hari ini berakhir dengan tragedi,” katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu Zuraidi Mohd Yusuf berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.42 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
Katanya, mayat mangsa ditemukan terdampar di dasar sungai pada kedalaman 4.5 meter selepas anggota melakukan selaman.
“Lima rakannya yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.