
Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata, walaupun permohonan maaf telah dibuat, ia tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina mahupun disalah guna.
Menegaskan tindakan tegas harus diambil ‘tanpa pilih kasih’, Neow mengingatkan tentang respons PAS sendiri terhadap kontroversi berkait penerbitan Jalur Gemilang yang silap sebelum ini.
“Pada 16 April, ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden mengutuk tindakan akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang tidak lengkap sebagai kesalahan besar, tidak patriotik dan menghina kedaulatan negara.
“Begitu juga dengan kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bulan lepas,” katanya dalam kenyataan.
“Justeru, siasatan dan tindakan undang-undang yang tegas tetap perlu dikenakan ke atas PAS yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2025, walaupun permohonan maaf telah dibuat.”
Neow turut mencadangkan agar kerajaan menggubal satu dasar khusus demi memelihara Jalur Gemilang sebagai simbol kemegahan, kebanggaan dan kehormatan buat Malaysia.
Semalam, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo Himpunan TMT 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program itu memaklumkan, pihaknya sudah menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.
Sebelum ini, selain KPM dan Sin Chew Daily, akhbar Kwong Wah Yit Poh dan sebuah vendor pameran dari Singapura turut dilaporkan memaparkan imej Jalur Gemilang yang silap, mendorong pelbagai pihak termasuk PAS menuntut tindakan tegas diambil.