Pemuda MCA tepis cabaran dan ‘pandangan peribadi’ Puad

Pemuda MCA tepis cabaran dan ‘pandangan peribadi’ Puad

Ketua Penerangan Neow Choo Seong kata resolusi AGM tempoh penegasan dan kehendak akar umbi.

perhimpunan agung mca
Perhimpunan Agung MCA meluluskan resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU16. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda MCA menepis cabaran pemimpin Umno, Puad Zarkashi, berhubung resolusi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan DAP pada PRU16, yang diluluskan perhimpunan agung parti itu baru-baru ini.

Ketua Penerangan Neow Choo Seong berkata resolusi perwakilan tempoh hari bukan ugutan mahupun isyarat keluar Barisan Nasional (BN), sebaliknya penegasan terhadap prinsip, pendirian dan hala tuju MCA.

neow choo seong
Neow Choo Seong.

“Penting bagi MCA bukan sekadar bangkit, tetapi memperkukuhkan struktur dalaman serta mengembalikan keyakinan rakyat melalui kepimpinan yang jelas, berprinsip dan konsisten.

“MCA, sebagai parti yang berteraskan masyarakat Cina namun komited memperjuangkan kepentingan semua kaum, perlu berani menawarkan hala tuju yang lebih segar, inklusif dan progresif,” katanya kepada FMT.

Ahli majlis kerja tertinggi Umno itu mencabar MCA agar menentukan kedudukannya dalam BN sekarang, tanpa menunggu Umno menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16.

Puad mendakwa MCA sekadar mencari alasan untuk meninggalkan BN susulan resolusi untuk membawa haluan sendiri sekiranya komponen BN lain bertegas mahu bekerjasama dengan DAP.

Menurut Puad lagi, Umno berhasrat meneruskan kerjasama dengan PH, termasuk DAP, pada PRU16.

Mengulas lanjut, Neow menegaskan bahawa setiap resolusi AGM selaras kehendak akar umbi.

Beliau juga berkata hasrat meneruskan kerjasama dengan PH termasuk DAP itu sekadar ‘pandangan peribadi’ Puad.

“Pandangan yang diutarakan oleh Puad adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi kepimpinan tertinggi Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.