
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat susulan video tular di media sosial memaparkan kejadian itu.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak, termasuk saksi atau mangsa.
“Polis telah memulakan siasatan sebaik menerima maklumat kejadian (tular) ini pada malam tadi. Justeru, orang ramai diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan kejadian pergaduhan di sebuah pusat beli-belah, dipercayai dimuat naik di akaun Facebook kumpulan muzik itu.
Menurut hantaran tersebut, vokalis tersebut diserang dan dipukul sekumpulan lelaki, dengan beberapa keping gambar kesan kecederaan turut dikongsi.