Kumpulan dakwa majlis baca buku di Dataran Merdeka diganggu polis, DBKL

Kumpulan dakwa majlis baca buku di Dataran Merdeka diganggu polis, DBKL

Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia berkata tindakan itu timbulkan persekitaran tidak selamat untuk aktiviti bersifat pendidikan dan intelektual.

Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia mendakwa majlis ‘Diskusi dan Buku Jalanan’ diadakan di Dataran Merdeka Sabtu lalu, berlangsung secara santai sebelum diarah bersurai oleh pihak berkuasa. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia mendakwa polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengganggu aktiviti diskusi dan budaya membaca di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.

Majlis ‘Diskusi dan Buku Jalanan’, yang dianjurkan secara santai dan terbuka didatangi kira-kira lapan hingga 10 anggota penguat kuasa – tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.

Menurut kumpulan itu, pegawai dari Balai Polis Dang Wangi mempersoalkan sama ada mereka telah menghantar surat pemakluman kepada ketua polis daerah.

“Adakah rakyat kini perlu membuat permohonan rasmi untuk menggunakan ruang awam bagi aktiviti membaca dan berdiskusi secara aman?” soal kumpulan berkenaan, dalam kenyataan di Instagram.

Katanya, mereka diarah bersurai, namun tidak disertakan dengan penjelasan undang-undang yang jelas.

Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.

Kumpulan tersebut berkata, mereka percaya bahawa membaca, berdiskusi, dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan.

“Budaya intelektual seharusnya digalakkan, bukan diganggu.”

Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia berpandangan insiden itu mencerminkan keperluan untuk menilai semula bagaimana pihak berkuasa memahami peranan mereka terhadap masyarakat sivil.

Walaupun berdepan gangguan, mereka akan meneruskan inisiatif Diskusi dan Buku Jalanan yang membuka ruang kepada wacana terbuka dan pembelajaran bersama.

FMT telah menghubungi polis dan DBKL untuk ulasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.