
Mengulas gesaan sebuah persatuan penyewa rumah agar kajian kesan kepadatan diwajibkan bagi projek baharu, Camelia May Li Kusumo berkata walaupun alat seperti itu wujud dalam Rancangan Fizikal Negara dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, ia tidak mengambil kira risiko saluran paip gas bawah tanah.

“Terma ‘kajian kesan kepadatan’ lazimnya merujuk kepada penilaian terhadap kesan peningkatan kepadatan bangunan ke atas faktor seperti harga rumah atau suhu udara dalaman,” katanya kepada FMT.
Kusumo dari Universiti Taylor’s berkata risiko seperti saluran paip gas biasanya dinilai melalui proses Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) — namun kaedah itu mungkin tidak lagi mencukupi hari ini.
“Garis panduan persekutuan itu sendiri perlu dikemas kini secara berkala selari dengan perubahan guna tanah dan kepadatan bandar,” katanya.
“Sebagai contoh, saluran paip di Putra Heights dibina kira-kira 50 tahun lalu, manakala kawasan perumahan di sekelilingnya hanya dibangunkan sekitar 26 tahun lepas. Corak guna tanah dan kepadatan di kawasan itu telah banyak berubah sejak itu.”
Kebakaran pada 1 April di Putra Heights menyebabkan banyak rumah dan kenderaan rosak teruk, menyebabkan trauma dalam kalangan penduduk dan desakan supaya keperluan perancangan diperkemaskan.
Bagi mencegah kejadian serupa, Kusumo mencadangkan pembaharuan peraturan, termasuk sistem klasifikasi lokasi untuk infrastruktur berisiko tinggi serta penggunaan teknologi pemantauan masa nyata, seperti penderia tekanan jauh dan meter pintar.
“Langkah ini membolehkan pemodelan risiko yang lebih baik dan penentuan jarak selamat antara bangunan dan kemudahan berbahaya,” katanya.
Sementara itu, Noor Hashimah Hashim Lim dari Universiti Malaya berkata pihak berkuasa juga mesti mengutamakan pemetaan menyeluruh bagi infrastruktur bawah tanah.

“Jika tidak, kita seperti menggali tanah secara membuta tuli, yang mungkin menjejaskan infrastruktur bawah tanah berhampiran,” katanya.
Noor Hashimah berkata jurang data menyukarkan pihak berkuasa tempatan menetapkan keperluan pembangunan yang berkesan.
Katanya, pemaju biasanya akan patuh sekiranya keperluan ditetapkan secara rasmi, tetapi mereka cenderung hanya memenuhi syarat minimum kecuali peraturan itu jelas dan dikuatkuasakan secara konsisten.
“Kalau pihak berkuasa sendiri tidak cukup maklumat untuk membuat keputusan yang tepat, maka syarat mereka kepada pemaju juga akan longgar,” katanya.