Konon untung RM11 juta, pesara ditipu RM680,000

Konon untung RM11 juta, pesara ditipu RM680,000

Wanita berusia 60 tahun sedar ditipu apabila kehabisan wang selain diminta bayar komisen kononnya bagi keluar keuntungan saham RM11 juta.

scammers
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata mangsa melakukan transaksi ke lima akaun bank berbeza dalam pelaburan dalam talian tidak wujud.
PETALING JAYA:
Terpesona untung RM11 juta memerangkap warga emas yang sebenarnya kerugian RM680,000 selepas terjebak pelaburan dalam talian tidak wujud di George Town, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata pesara syarikat swasta berusia 60 tahun itu membuat laporan polis selepas diperdaya aplikasi pelaburan dalam talian ‘Silver Peak Capital’.

“Menurut mangsa pada awal Februari lepas beliau telah melihat satu iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham melalui aplikasi Facebook dan mula berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Wanita itu memaklumkan pelaburan itu menjanjikan pulangan keuntungan antara 10 hingga 20% daripada modal yang dilaburkan dalam tempoh yang singkat sahaja,” katanya menurut Bernama.

Hamzah berkata, mangsa berminat menyertai pelaburan tersebut diminta memuat turun aplikasi ‘Silver Peak Cp’ dan mendaftar keahlian sebelum melakukan tujuh transaksi ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM680,000.

Beliau berkata, wanita itu hanya menyedari ditipu apabila kehabisan wang dan masih diminta untuk membuat komisen kepada syarikat tersebut yang kononnya bertujuan mengeluarkan keuntungan RM11 juta, seperti dipaparkan dalam aplikasi.

“Mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket itu. Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya.

Justeru, Hamzah mengingatkan bahawa penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya yang ditawarkan secara dalam talian adalah sangat berisiko dan orang ramai dinasihatkan menyemak terlebih dahulu dengan pihak berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.