
Bekas Adun Petagas berkata, kenyataan pengerusi GRS yang juga ketua menteri itu menjadi ‘seruan jelas untuk rakyat Sabah mengukuhkan lagi komitmen untuk menentukan nasib sendiri’.
“Cadangan pakatan PH-BN menimbulkan kebimbangan mengenai dominasi dan potensi parti tempatan diketepikan dalam pentadbiran negeri. Ia membangkitkan ketakutan pengaruh luar persis zaman penjajah.
“Pendirian proaktif Hajiji berfungsi sebagai amaran dan juga peluang referundum sama ada rakyat Sabah akan membenarkan entiti politik dari Semenanjung menentukan hala tuju negeri ke arah pemerkasaan sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Hajiji berkata GRS konsisten bahawa parti tempatan harus menjadi tonggak kepada kerajaan negeri, berpegang pada prinsip kerajaan Sabah harus dipimpin parti tempatan yang memahami realiti, budaya, dan keperluan rakyat.
Ligunjang berkata, apa jua keputusan GRS bertanding solo, sambil menumpukan kepada kerjasama dengan parti tempatan lain, akan menjadi ‘penyusunan strategik’ mengutamakan rakyat Sabah.
“Dengan menjajarkan diri dengan kerajaan perpaduan di peringkat pusat, GRS berhasrat memaparkan bahawa kestabilan sebenar melibatkan pemerkasaan suara tempatan dan mengutamakan keperluan rakyat Sabah,” katanya.
Ketika ini, GRS dan PH menjadi sekutu dalam kerajaan Hajiji, manakala BN dan Warisan di pihak pembangkang. Namun, empat parti tersebut bersatu dalam kerajaan persekutuan.
Semalam, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan PH-BN bersetuju bekerjasama menjelang PRN Sabah, susulan perbincangan antara pengerusi dua gabungan itu, Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.