Bekas Adun Umno dinamakan calon Warisan di Kinabatangan

Bekas Adun Umno dinamakan calon Warisan di Kinabatangan

Saddi Abdul Rahman pernah mewakili DUN Sukau yang dimenangi atas tiket BN.

Saddi Abdul Rahman n Mazliwati Abdul Malik Chua
Saddi Abdul Rahman bakal mewakili Warisan di Parlimen Kinabatangan manakala Mazliwati Abdul Malik Chua di DUN Lamag.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Sukau Saddi Abdul Rahman dinamakan sebagai calon Warisan untuk PRK Kinabatangan, 24 Jan depan.

Bekas wakil rakyat Umno itu akan berdepan calon Barisan Nasional (BN) Naim Moktar Radin, anak Bung Moktar Radin, penyandang kerusi terbabit yang meninggal dunia pada 5 Dis lalu, menurut Malaysiakini.

Saddi menyertai Warisan pada November lalu. Selain Umno, beliau juga pernah menganggotai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).

Warisan turut mengumumkan Mazliwati Abdul Malik Chua di kerusi DUN Lamag dan dijangka berdepan Ismail Ayob dari BN.

Ismail sebelum ini bertanding sebagai calon bebas pada PRN Sabah, 29 Nov lalu.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata keputusan parti itu bertanding pada pilihan raya kecil itu bukan bermakna tidak menghormati jasa Bung Moktar ketika menjadi wakil rakyat.

“Keputusan Warisan untuk bertanding bukanlah penafian terhadap sumbangan dan khidmat Bung, dan tentunya bukan satu bentuk tidak hormat terhadap beliau atau keluarganya.

“Ia lahir daripada kepercayaan bahawa mandat rakyat mesti diteruskan, dan tanggungjawab untuk mewakili rakyat hanya boleh dilaksanakan melalui proses yang sah dan berperlembagaan,” katanya ketika mengumumkan calon Warisan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.