Tiada perpecahan jika calon sedia terima kekalahan, kata pemimpin PKR

Tiada perpecahan jika calon sedia terima kekalahan, kata pemimpin PKR

Ahli MPP PKR Yahya Mat Sahri berkata proses pemilihan patutnya untuk penyatuan, memperkasa dan beri semangat baharu kepada parti.

rafizi dan Nurul Izah
Ahli MPP PKR Yahya Mat Sahri berkata pertembungan nama besar seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar juga tidak membawa kepada perpecahan kerana parti telah melalui proses matang dalam pemilihan.
PETALING JAYA:
Sebarang perpecahan tidak akan berlaku jika mana-mana individu bertanding dalam pemilihan PKR termasuk bagi merebut jawatan timbalan presiden bersedia menerima kekalahan, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Yahya Mat Sahri.

Yahya berkata sekalipun berlaku pertembungan nama besar seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar untuk jawatan nombor dua, ia tidak membawa kepada perpecahan kerana parti telah melalui proses matang dalam pemilihan.

“Kalau boleh terima kekalahan risiko untuk perpecahan tidak akan ada, tapi saya tidak nampak akan berlaku perpecahan jika ada pertembungan termasuk jawatan timbalan presiden.

“Kalau kita anggap pertandingan satu proses pecah belah itu silap. Sepatutnya proses pemilihan itu untuk penyatuan, memperkukuh, memperkasa dan memberikan semangat baharu serta mengilap bakat baharu,” katanya kepada FMT.

Katanya, selain individu bertanding, penyokong juga perlu mempamerkan sikap matang dengan menerima kekalahan dan terus setia berkhidmat kepada parti walaupun calon mereka tewas.

Yahya juga yakin sejarah keluar PKR beramai-ramai juga tidak akan berlaku sebagaimana Langkah Sheraton yang menyaksikan kumpulan bekas timbalan presiden Azmin Ali bertindak meninggalkan parti dengan menyertai Bersatu.

“Pada pemilihan 2001, 2004 jawatan timbalan presiden ada pertembungan tetapi ia tidak menyebabkan perpecahan sehingga melumpuhkan dan mengurangkan sokongan kepada PKR. Parti tetap berdiri tegak di bawah pimpinan Anwar Ibrahim,” katanya.

Semalam, seorang sumber kanan parti berkata pertembungan antara Rafizi dan Nurul Izzah bagi jawatan nombor dua boleh menyebabkan parti pemerintah itu semakin berpecah.

Katanya, tiada pemenang sebenar sekiranya pertandingan antara dua nama besar PKR itu berlaku.

Rafizi menyatakan hasrat mempertahankan jawatan timbalan presiden, manakala spekulasi semakin meningkat bahawa Nurul Izzah – anak kepada presiden PKR dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – mungkin didesak untuk mencabar Rafizi susulan rasa tidak puas hati dalaman dan insiden dalam pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini.

Penamaan calon bagi pemilihan parti dibuka semalam dan hari ini, dengan pengundian dijadualkan berlangsung pada 23 Mei.

Sumber itu berkata pada awalnya, pertandingan timbalan presiden dijangka menyaksikan pertembungan semula antara Rafizi dan bekas setiausaha agung Saifuddin Nasution Ismail, namun pertemuan antara kedua-dua mereka baru-baru ini mungkin menyebabkan Saifuddin menarik diri daripada bertanding.

Sumber itu juga berkata persaingan jawatan timbalan presiden pada mulanya dilihat antara Rafizi dan Saifuddin, namun ‘gerakan dalaman’ telah menaikan nama Nurul Izzah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.