Majoriti AMT bantah Usno keluar GRS, kata timbalan presiden

Majoriti AMT bantah Usno keluar GRS, kata timbalan presiden

Ibrahim Linggam kata tindakan Presiden Pandikar Amin Mulia itu dibuat tanpa persetujuan majoriti kepimpinan tertinggi parti.

Timbalan Presiden Usno, Ibrahim Linggam Facebook pic 4526
Timbalan Presiden Usno, Ibrahim Linggam mendakwa majoriti ahli majlis tertinggi mahu parti itu terus kekal bersama GRS dan menyokong kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Ibrahim Linggam mendakwa keputusan membawa keluar parti itu daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibuat secara bersendirian tanpa persetujuan majoriti kepimpinan tertinggi parti.

Ibrahim berkata majoriti ahli majlis tertinggi (AMT) Usno juga membantah tindakan presiden, Pandikar Amin Mulia tersebut kerana mahu parti itu terus kekal bersama GRS serta terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

Katanya, keputusan membawa Usno keluar daripada GRS tidak pernah dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti termasuk AMT, Generasi Baru dan Kaum Ibu sebelum diumumkan presiden.

“Bagi kami, keputusan tersebut dibuat secara bersendirian dan tergesa-gesa oleh presiden dan bukannya sebulat suara oleh AMT.

“Buktinya ialah kehadiran AMT hari ini dengan kepentingan bersama menolak tindakan Presiden yang membelakangkan kepentingan ahli-ahli Usno,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, lapor Sinar Harian.

Ibrahim juga mendakwa notis mesyuarat AMT pada Rabu ini telah didedar dengan agenda penyusunan semula kepimpinan yang disifatkannya sebagai usaha mengambil tindakan terhadap pemimpin yang tidak sehaluan dengan presiden.

Beliau memberi amaran bahawa sebarang pemecatan atau tindakan disiplin perlu dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti dan bukannya secara sewenang-wenangnya.

Pada 22 April lalu, Pandikar Amin mengesahkan partinya meninggalkan GRS kerana tiada lagi keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan, khasnya selepas PRN Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.