Kerjasama BN-PH stabilkan politik Sabah, kata pemimpin Umno

Kerjasama BN-PH stabilkan politik Sabah, kata pemimpin Umno

Salleh Said Keruak berkata kesepakatan BN-PH turut buka ruang rundingan lebih inklusif bersama parti tempatan.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata semua pihak perlu bersatu demi masa depan negeri. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah disifatkan sebagai langkah menstabilkan politik negeri itu,kata bekas ketua menteri Salleh Said Keruak.

Menurut bendahari Umno Sabah itu, kesepakatan terbabit turut membuka ruang rundingan lebih inklusif bersama parti-parti tempatan.

“Kerjasama ini perlu disandarkan kepada keikhlasan, calon yang berwibawa dan dasar yang membela rakyat.

“Sabah perlukan kestabilan. Semua pihak perlu bersatu demi masa depan negeri,” kata Adun Usukan itu di Facebook.

Terdahulu, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan kerjasama BN dan PH pada PRN Sabah.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat antara Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Zahid Hamidi, semalam.

Ketika ini BN dan PH berada di blok berbeza dalam pentadbiran Sabah walaupun kedua-duanya bersama membentuk kerajaan perpaduan di pusat.

PH menjadi sebahagian pentadbiran negeri diketuai GRS pimpinan Hajiji Noor manakala BN di blok pembangkang.

Sebelum ini, BN menolak bekerjasama dengan GRS pada PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya 60 hari selepas penggal DUN Sabah tamat November depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.