Shafie ‘arkitek’ krisis air Sabah, dakwa pemimpin Umno

Shafie ‘arkitek’ krisis air Sabah, dakwa pemimpin Umno

Suhaimi Nasir dakwa penamatan kontrak konsesi pada 2019 bebankan kerajaan dengan pampasan RM315 juta, rakyat terkesan dengan ketiadaan bekalan air.

Suhaimi Nasir berkata sejarah akan mencatat Shafie Apdal bukan sebagai penyelamat tetapi punca utama krisis air Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Sabah melabel bekas ketua menteri, Shafie Apdal, sebagai ‘arkitek’ krisis air yang terus menghantui rakyat negeri itu, merujuk tindakan pentadbirannya yang didakwa terburu-buru menamatkan kontrak syarikat konsesi utiliti pada 2019.

Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir mempersoalkan keputusan Shafie yang menurutnya tidak disertakan dengan pelan gantian jelas sehingga menyebabkan kerajaan negeri kini terpaksa menanggung beban pampasan sebanyak RM315 juta.

Ahli Parlimen Libaran itu turut mendakwa rakyat kini terpaksa beratur dengan tong dan baldi menunggu bantuan bekalan air akibat keputusan tidak bertanggungjawab pentadbiran Shafie.

“Punca segala derita ini? Keputusan terburu-buru Shafie pada 2019 menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air yang mengendalikan 58 loji rawatan air di seluruh Sabah.

“Akibatnya, kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan sebanyak RM315 juta kepada syarikat konsesi berkenaan. Soalnya, adakah ini keputusan seorang pemimpin bijak atau sekadar langkah politik yang akhirnya menjerut rakyat sendiri?” katanya dalam kenyataan.

Pada September tahun lalu, Shafie yang juga presiden Warisan mempertahankan penamatan kontrak itu dengan mendakwa ia berat sebelah.

Beliau turut mendakwa langkah itu mampu menjimatkan RM685 juta daripada kontrak 20 tahun walaupun kerajaan terpaksa membayar pampasan RM315 juta.

Mengulas lanjut, Suhaimi meminta penjelasan kerajaan negeri sama ada pampasan tersebut telah dilunaskan dan adakah pentadbiran Hajiji Noor kini menanggung akibat daripada keputusan Shafie itu.

“Jika benar penamatan konsesi itu kononnya menjimatkan, mengapa sehingga hari ini rakyat masih terpaksa menadah air hujan, menyimpan air dalam tong biru, malah membeli air dari lori setiap minggu? Adakah itu definisi ‘penjimatan’ versi Shafie?

“Lebih tragis, kadar air tidak terhasil kekal melebihi 50% – separuh daripada air bersih hilang entah ke mana – sedangkan rakyat dipaksa menunggu giliran dengan baldi di tangan.

“Shafie boleh berdalih dengan retorik politik, tetapi fakta tidak boleh dipadam. Beliau telah membatalkan projek air kritikal,” katanya.

“Sejarah akan mencatat nama Shafie bukan sebagai penyelamat, tetapi punca utama krisis air Sabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.