
Difahamkan, siasatan juga menjurus kepada unsur rasuah melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad (SKPB) dan Sapuracrest Petroleum Berhad yang kemudian dikenali sebagai SEB.
Sumber berkata, tokoh korporat itu sudah dipanggil ke ibu pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei bagi membantu siasatan namun tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.
Katanya, siasatan dan penggeledahan juga dijalankan di beberapa lokasi iaitu Sapura@Mines di Seri Kembangan, Menara Permata Sapura di Kuala Lumpur, dan kediamannya sekitar Selangor serta ibu negara.
“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), ‘branding fee dan private placement’ dari 2012 hingga 2021.
“Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan bawah Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut sumber, sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta dibekukan susulan siasatan.
“Tindakan penyiasatan tatakelola juga akan dijalankan,” katanya.