
“Pada zaman saya, orang ramai bebas membuat aduan kepada kerajaan jika berlaku sesuatu yang tidak kena, seperti isu lokasi kuil atau masjid. Kami akan selesaikannya secara dalaman.
“Tidak perlu bermusuhan atau menghebahkan perkara itu kepada umum,” katanya dalam temu bual FMT.
Mac lalu, kontroversi tercetus berhubung pemindahan kuil Hindu berusia 130 tahun di ibu negara. Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman terletak atas tanah yang dijual kepada peruncit tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd pada 2012.
Rancangan syarikat tersebut membina sebuah masjid dinamakan Masjid Madani di tapak berkenaan mendapat tentangan hebat daripada komuniti kuil, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak terlibat dalam pembinaan masjid itu dan menjelaskan ia keputusan syarikat terbabit.
Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri keempat dan ketujuh, juga mendakwa kebebasan rakyat menyuarakan kritikan semakin terhakis dan perbezaan pendapat terhadap kerajaan kini lebih ditekan.
“Apa sahaja yang kerajaan lakukan, anda perlu sokong. Jika kerajaan tidak bertindak, anda akan terpinggir,” katanya.
Tangani isu perkauman
Mahathir turut melahirkan kebimbangan terhadap jurang perkauman yang semakin melebar di negara ini, sambil menyatakan sentimen perkauman kini lebih ketara berbanding ketika beliau memegang tampuk pemerintahan.
“Orang ramai kini lebih sedar tentang kaum mereka dan berasa terancam oleh komuniti lain,” katanya.
Beliau berkata, ketegangan seperti ini tidak berlaku di negara jiran seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand kerana penggunaan bahasa kebangsaan yang menyatukan serta ketiadaan parti politik berasaskan kaum.
“Jika parti politik dibina berasaskan kaum serta mempromosikan bahasa dan budaya masing-masing, kita akan berpecah mengikut garis perkauman.”
“Di Indonesia, masyarakat Cina bercakap dalam bahasa Indonesia, bukan bahasa Cina. Namun di Malaysia, meskipun kita sebut diri sebagai rakyat Malaysia, kita tetap memperkenalkan sebagai Cina Malaysia atau India Malaysia,” katanya.
Mahathir berkata, ahli politik sering mengeksploitasi isu perkauman untuk meraih sokongan sekali gus memburukkan perpecahan dalam negara.
Namun, beliau berpendapat parti Melayu tidak harus dilihat sebagai berasaskan kaum, sebaliknya berakar umbi dalam aspek kenegaraan.
“Malaysia adalah sebuah negara yang diasaskan oleh orang Melayu dan dikenali sebagai Tanah Melayu.
“Jika seseorang mengamalkan bahasa dan budaya Melayu, mereka boleh menyertai Umno atau mana-mana parti Melayu. Ia bukan semata-mata soal kaum…ini berkaitan kenegaraan. Ini negara Melayu,” tegasnya.