Wakil PAS bidas bekas pembantu Muhyiddin

Wakil PAS bidas bekas pembantu Muhyiddin

Nurul Islam Yusof membidas Marzuki Mohamad yang menyalahkan PAS atas masalah dalaman PN dan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan.

Nurul Islam Yusoff
Timbalan Ketua Penerangan PAS Selangor Nurul Islam Yusoff berkata keadaan yang membawa kepada pelantikan menteri besar Perlis baharu daripada Bersatu bulan lepas, menunjukkan kelemahan kepimpinan Muhyiddin Yassin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Penerangan PAS Selangor Nurul Islam Yusoff membidas dakwaan bekas ketua setiausaha sulit Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang menyalahkan PAS atas pertikaian dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN).

Nurul Islam berkata hantaran Facebook oleh Marzuki Mohamad, telah menggambarkan peranan PAS secara tidak tepat dalam peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN serta pelantikan menteri besar Perlis yang baharu bulan lalu.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk Marzuki mengkritik Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar kerana memberitahu Muhyiddin bahawa ‘your time is finished’ dalam memimpin PN, sedangkan Muhyiddin sendiri telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan.

“Lepas dah letak jawatan maka wajarlah masa anda sebagai pengerusi telah berakhir,” katanya dalam hantaran di Facebook.

“Tetapi kalau selepas meletak jawatan, anda masih cuba menguasai, mengawal organisasi, menetukan siapa pengganti dan lebih teruk ada usaha mengembalikan anda sebagai ketua, itulah maksudnya ‘your time is finished’.

“Muhyiddin pun bersetuju dan telah berundur. Sekarang macam mengelat tak nak berundur pula. Driver kereta setuju nak berhenti kerja, tapi bawa lari stereng kereta. Apa kes?”

Hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang susulan krisis politik Perlis bulan lalu, yang menyaksikan seorang ahli Adun Bersatu menggantikan wakil PAS sebagai menteri besar.

Tiga kerusi Adun bekas PAS turut diisytiharkan kosong selepas parti itu memaklumkan keahlian mereka terlucut secara automatik berikutan dakwaan menarik balik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Krisis tersebut turut mendorong Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, dengan PAS menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih kepimpinan gabungan pembangkang itu.

Pada Rabu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS telah bersetuju untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula gabungan itu dalam satu pertemuan antara beliau dan pemimpin PAS pada 16 Jan.

Bagaimanapun, pemimpin PAS termasuk presiden parti Abdul Hadi Awang dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, menafikan dakwaan tersebut.

Nurul Islam berkata, walaupun perbezaan pandangan dalaman PAS berkaitan krisis politik Perlis ditangani secara dalaman, Bersatu sepatutnya tidak mengemukakan calon menteri besar tanpa berunding dengan PAS, parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri Perlis.

“Dr Marzuki sama ada tak jelas, tak faham, atau buat buat tak faham. Sepatutnya apabila Istana Perlis minta nama, Bersatu patut merujuk kepada PAS sebagai parti yang ada kerusi terbanyak. Tapi tak, dihantarnya nama sebab nak kerusi MB juga.

“Apa tindakan Muhyiddin sebagai pengerusi PN? Tiada apa-apa. Di situ nampak betapa lemahnya kepimpinan Muhyiddin. Sebab itulah penyokong PN mendesaknya berundur,” katanya.

Beliau menggesa Marzuki supaya berterus terang sekiranya mahu Muhyiddin terus memimpin Bersatu dan PN, sambil menegaskan keputusan politik harus mengutamakan kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi.

“Saya faham Marzuki akan mempertahankan Muhyiddin, tetapi menyalahkan PAS atas apa yang berlaku adalah tidak betul.

“Tulislah secara terang. Marzuki nak Muhyiddin teruskan jadi pengerusi PN, teruskan jadi bakal PM, teruskan mengetuai Bersatu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.