Dadah lebih RM16 juta dirampas, 5 ditahan

Dadah lebih RM16 juta dirampas, 5 ditahan

Polis berkata suspek menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah.

Rusdi Mohd Isa
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa (tengah) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Polis merampas pelbagai dadah bernilai kira-kira RM16.01 juta selepas menahan lima lelaki dalam tiga serbuan di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata dua individu termasuk warga Filipina, masing-masing berusia 41 serta 31 tahun ditahan di Jalan Mamanda 1, Ampang dalam serbuan pertama pada 5.50 petang 29 April lalu.

Beliau berkata, polis menemui 56 bungkusan plastik berisi syabu seberat 58.42kg dalam Honda City dinaiki suspek dan hasil soal siasat membawa kepada pemeriksaan terhadap sebuah Honda Civic di Taman Melati, di sini.

“Hasilnya, polis merampas 141 bungkusan plastik syabu seberat 146.76kg. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mendapat bekalan dadah itu dari Kelantan dan mereka menggunakan kereta berkenaan sebagai tempat penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang media di sini.

Rusdi berkata, seorang lelaki 45 tahun ditahan dalam serbuan kedua pada 3.30 petang Isnin lalu, yang kemudian membawa pihak polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah Jalan Imbi dan hasil pemeriksaan menemui 221kg syabu dianggarkan bernilai RM7.07 juta.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod jenayah dan dadah lampau.”

Dalam serbuan ketiga pada 5.10 petang Selasa lalu, seorang lelaki 33 tahun ditahan di sebuah kondominium di Taman Mastiara, di sini dan 4.1kg ketamin serta 1.1kg pil ekstasi yang disembunyikan dalam beg dibawa suspek ditemui.

Beliau berkata, soal siasat ke atas lelaki itu kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi suspek 23 tahun di lokasi sama, selain rampasan serbuk ekstasi seberat 288g.

“Suspek kemudian membawa anggota polis ke sebuah bilik di kondominium itu dan hasil pemeriksaan menemui pelbagai dadah melibatkan serbuk ekstasi seberat 9kg, ketamin (4.19kg), pil ekstasi (3.28kg) dan eramin 5 (1.25kg) dengan nilai keseluruhan rampasan RM2.38 juta.”

Kelima-lima suspek direman sehingga esok dan 12 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.