Akta 723 terpakai untuk semua, tak ikut darjat, kata menteri

Akta 723 terpakai untuk semua, tak ikut darjat, kata menteri

Armizan Mohd Ali berkata akta itu juga pernah digunakan untuk sektor kesihatan ketika penularan wabak Covid-19.

doctor protest
Selasa lalu lebih 300 pengamal perubatan am mengadakan himpunan membantah penggunaan Akta 723 dan menyerahkan memorandum berkaitan isu terbabit kepada Pejabat Perdana Menteri.
PETALING JAYA:
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terpakai untuk semua dan tidak mengikut darjat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menggesa kerajaan tidak menyamakan perkhidmatan profesional dengan penjualan barangan di kedai runcit.

Armizan menjelaskan penggunaan Akta 723 bukan kali pertama dikuatkuasakan untuk sektor kesihatan dan ia pernah digunakan semasa penularan Covid-19 untuk barangan seperti vaksin.

Katanya, dua perintah yang masih lagi berkuatkuasa di bawah akta itu adalah berkaitan pelitup muka serta kit ujian pantas antigen.

“Dalam konteks hak universal pengguna, tidak ada perbezaan darjat antara penjual profesional ataupun penjual kalangan peruncit.

“Bila mana perniagaan anda menjual barangan kepada pengguna, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memastikan rakyat iaitu pengguna mempunyai hak akses kepada maklumat sekali gus hak untuk membuat pilihan,” katanya kepada FMT.

Armizan berkata Akta 723 juga tidak tidak tertakluk kepada sebarang pengecualian atau terpakai kepada kategori-kategori tertentu sahaja.

“Selagi mana anda menjual barangan kepada pengguna (walau apa jenis sekalipun), Seksyen 10 memberi kuasa kepada menteri KPDN untuk menetapkan peraturan pelabelan/penandaan harga,” katanya.

Sebelum ini, MMA dan beberapa kumpulan perubatan lain membantah keputusan kerajaan menguatkuasakan Akta 723 yang mewajibkan premis perubatan am memaparkan harga perubatan mulai 1 Mei.

Presiden terpilih MMA Dr R Thirunavukarasu mahu kerajaan menggunakan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586) kepada profesion perubatan bukan Akta 723.

Menurutnya, Akta 586 turut merangkumi ketelusan yang memberi hak kepada pengguna untuk mengetahui harga ubat dan menteri kesihatan juga mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perubahan.

Pada Selasa lalu, Thirunavukarasu bersama lebih 300 pengamal perubatan am (GP) mengadakan himpunan membantah penggunaan Akta 723 dan menyerahkan memorandum berkaitan isu terbabit kepada Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Armizan berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk meneliti memorandum yang telah dikemukakan seperti yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.