Sidang Kemuncak Asean: Penjawat awam terkesan trafik boleh mohon BDR

Sidang Kemuncak Asean: Penjawat awam terkesan trafik boleh mohon BDR

Jabatan Perkhidmatan Awam berkata penjawat awam yang layak disaran berhubung dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya.

Sidang Kemuncak Asean 2025 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei ini. (Gambar Kuala Lumpur Convention Centre)
PUTRAJAYA:
Penjawat awam yang dijangka terkesan kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak Asean hujung bulan ini disaran memohon pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, selaras komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel, tertakluk kepada peraturan.

Menurutnya, dasar itu yang diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian SR.4.1.2 bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kesinambungan tugas serta keperluan kebajikan warga kerja dari segi kesejahteraan dan keharmonian kerja-kehidupan.

“Penjawat awam yang layak disaran berhubung dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Langkah itu, menurut JPA, antara inisiatif kerajaan mengutamakan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin, sejajar nilai teras Madani seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, pelaksanaan dasar BDR perlu berpandukan tatacara dan syarat digariskan dalam MyPPSM.

Sidang Kemuncak Asean 2025 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei ini.

Malaysia selaku pengerusi Asean tahun ini akan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang dijangka menghimpunkan sekitar 20,000 peserta, termasuk ketua negara, perwakilan dan pegawai dari negara anggota serta rakan dialog seperti China serta negara Teluk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.