
Katanya, PKR berada dalam fasa penting yang memerlukan pertimbangan teliti dalam setiap keputusan bakal dibuat, khususnya memastikan kesinambungan perjuangan serta kestabilan dan kekuatan parti.
“Saya akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota.
“Segala keputusan yang bakal diambil haruslah mempertimbang bukan sahaja keperluan menyatu dan memperkukuh jalinan sesama sahabat seperjuangan, tetapi juga keperluan membawa nafas baharu dan perubahan bermakna demi memastikan parti ini terus relevan dan diyakini rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Izzah berkata, kata putus itu bukan untuk kepentingan individu, tetapi demi usaha membina masa depan PKR secara bersama di kala suka dan duka.
Sejak semalam, Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh menerima banyak sokongan untuk bertanding jawatan nombor dua parti.
Setakat ini, sebahagian besar bahagian PKR di Selangor, Perak, Pahang, Johor, Kedah dan Melaka menyatakan sokongan kepadanya.
Selain itu, pimpinan utama sayap Wanita dan Pemuda PKR turut menyatakan sokongan terhadap Izzah.
Ketua Wanita, Fadhlina Sidek, berkata sokongan terhadap Izzah bukan atas dasar beliau anak kepada seseorang, sebaliknya demi kelangsungan PKR yang memerlukan tokoh rejuvenasi parti.
Manakala, Ketua Pemuda, Adam Adli, berkata Izzah bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi mampu meniupkan semangat reformasi kepada generasi baharu.
Turut disebut bakal bertanding jawatan itu bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail namun beliau sehingga kini belum membuat keputusan.
Jawatan timbalan presiden PKR kini disandang Rafizi Ramli.