

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata pucuk pimpinan PN mengambil maklum kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung perkara itu dan sedang membuat pertimbangan sewajarnya.
“Rakyat sudah bosan dengan rebutan kuasa di peringkat jawatan dalam kerajaan mahupun jawatan dalam parti Politik. Rakyat mendambakan idea dasar yang mampu menyelesaikan masalah mereka,” katanya dalam kenyataan.
Pada 4 Mei lalu Pemuda PAS menyifatkan seruan Tuan Ibrahim supaya perubahan perlu dilakukan dalam pentadbiran PN sebagai ‘wake-up call’ tepat pada waktunya.
Ketua Penerangan, Nadzir Helmi, berkata PN sedang menempah kegagalan jika pentadbiran gabungan politik itu kekal statik, tidak progresif dan tidak responsif terhadap cabaran semasa.
Menurut Nadzir, rakyat juga sudah mula menyuarakan kebimbangan dan mahu melihat PN yang bersedia memimpin, bukan sekadar sedia bertanding.
Sebelum ini, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata terdapat keperluan agar PN melakukan perubahan menyeluruh bagi menghadapi realiti politik semasa.
Sementara itu, Harris berkata ketika ini PN perlu menumpukan isu kos sara hidup, demokrasi pendidikan, strategi dagang yang baharu untuk mengelak impak kenaikan tarif Amerika Syarikat.
“PN perlu membuktikan kepada rakyat bahawa gabungan politik ini adalah kerajaan menunggu dengan idea pentadbiran yang meyakinkan.
“Namun, Pemuda Bersatu bersetuju bahawa strategi progresif dan dinamik perlu diperkemaskan untuk memastikan PN dapat melebarkan pengaruh dalam kalangan semua lapisan rakyat tidak mengira kaum atau bangsa,” katanya.