

Bagi Ashraf Abdul Ghani, perkhidmatan van atas permintaan itu menjadikan perjalanan hariannya dari rumah di Ampang ke universiti di Subang Jaya lebih mudah dan selesa.
Sebelum DRT diperkenalkan pada Mei 2023, perjalanan Ashraf ke kampus mengambil masa satu jam setengah, memaksanya mengharungi kesesakan waktu puncak dengan kos petrol RM200 sebulan.
Kini, perjalanan melibatkan kereta api sebelum bertukar ke van DRT – mengurangkan 15 minit perjalanan ke kampus.
Lebih penting bagi Ashraf, perkhidmatan itu lebih mesra dompet. Dia kini hanya belanja RM50 bagi kad My50, iaitu pas perjalanan tanpa had 30 hari untuk LRT, MRT, monorel, BRT, bas, dan khidmat feeder RapidKL di Lembah Klang.
“Perjalanan menggunakan pengangkutan awam sememangnya lebih selamat dan kurang stres,” kata pelajar perubatan berusia 30 tahun ketika ditemui di Stesen LRT Glenmarie.
Ashraf berharap RapidKL akan memperluas perkhidmatan DRT – yang mana ketika ini tertumpu di kawasan berkepadatan tinggi – kepada lebih banyak kawasan kejiranan popular seperti pusat beli belah dan universiti.

David Boh, 30, yang rutin menggunakan perkhidmatan van atas permintaan ke tempat kerja, berkata masa menunggu DRT munasabah, antara 10 hingga 30 minit, bergantung kepada situasi trafik.
Baginya, DRT sangat bernilai dalam menghubungkan kawasan sebelum ini sukar diakses melalui bas atau kereta api, termasuk Utropolis Glenmarie, sebuah kompleks pangsapuri di Shah Alam.
“Anda bertuah kalau dapat kereta e-hailing pada kadar RM11 bagi perjalanan dari Utropolis ke Stesen LRT Glenmarie antara 7 hingga 8 pagi. Ada masanya ia sampai RM20. Jadi, DRT sebenarnya mengurangkan beban kewangan,” katanya.
Pada Mac, Rapid Bus Sdn Bhd memperluas khidmat DRT ke tujuh zon operasi tambahan, merangkumi Kampung Ampang Indah-Taman Sri Watan, Ampang Hilir-Kampung Datuk Keramat, dan LRT Ampang-Ampang Jaya, termasuk di Putrajaya.
Perlu sistem tempahan lebih mesra, laluan dioptimum
Namun begitu, ada juga pengguna menghadapi kesukaran memahami sistem tempahan perkhidmatan yang kompleks serta terpaksa menunggu lama pada waktu puncak.
Nornimala Jelani berkata, dia belum mencuba perkhidmatan van atas permintaan RapidKL walaupun telah memasang aplikasi ‘Mobi’ di telefon pintarnya tahun lalu.
Kerani pentadbiran berusia 46 tahun itu, berkata menyuarakan kekecewaan dengan antara muka aplikasi yang digambarkan rumit, termasuk cara pemilihan lokasi naik dan menurunkan penumpang serta kekurangan arahan jelas.
“Saya akan gunakannya kalau ada orang tunjuk cara buat tempahan perjalanan. Buat masa ini, saya guna bas sahaja kerana sudah biasa. Saya cuma perlu naik bas dengan nombor yang betul dam di stesen yang betul,” katanya.
Nornimala menyeru RapidKL lebih giat mempromosikan khidmat DRT dan menyediakan panduan bagi pengguna yang berdepan masalah sama.
“Jika saya sendiri tengok ia tidak mesra pengguna, bayangkan kesukaran warga emas untuk tempah. Saya tidak fikir mereka mampu,” katanya sambil menambah tanpa pendidikan sewajarnya kepada orang awam, perkhidmatan itu akan kekal tidak banyak digunakan.
Dalam tinjauan, FMT mendapati beberapa pengguna salah anggap dalam menu lungsur ‘kawasan perkhidmatan’ dalam aplikasi sebagai lokasi naik penumpang.
Pengguna juga merungut mengenai tidak dibenarkan naik van tanpa membuat tempahan.
“Saya rasa mereka perlu selesaikan isu berkenaan. Saya selalu nampak van datang di sini dan berlalu tanpa ambil mana-mana penumpang baharu,” kata Lee, 43, pekerja insurans perubatan.
Katanya, van atas permintaan berguna ketika waktu puncak dan menyediakan liputan menyeluruh di kejiranan Petaling Jaya.
Namun, Lee mengadu cukup tidak puas hati kerana masa menunggu tidak munasabah pada waktu puncak, yang boleh melebihi satu jam. Katanya, dia cenderung menggunakan perkhidmatan bas ketika waktu berkenaan.
Lee berkata, van DRT juga tidak mesra penumpang terutama warga emas terpaksa bersusah payah membuka sendiri pintu van secara manual kerana berat.