Dipintas 3 kereta, Pamela dipaksa keluar, kata pemandu e-panggilan

Dipintas 3 kereta, Pamela dipaksa keluar, kata pemandu e-panggilan

Pemandu e-panggilan hanya mahu dikenali sebagai Kok berkata Pamela Ling setuju keluar dari kenderaannya selepas dua lelaki memberi jaminan dia akan dibawa ke balai polis untuk bantu siasatan.

macc sprm
Pemandu e-panggilan hanya mahu dikenali sebagai Kok berkata kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefonnya diambil tiga individu yang memintas kenderaannya.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu e-panggilan mendakwa dipaksa menekan butang “complete job” sebelum penumpangnya, Pamela Ling Yueh dibawa ke sebuah daripada tiga kereta yang memintas mereka dekat Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya 9 April lalu.

Pemandu hanya mahu dikenali sebagai Kok, 55, berkata beliau dalam perjalanan menghantar wanita 42 tahun itu dari Velocity Tower di Cheras ke pejabat SPRM kira-kira 2 petang, sebelum kenderaannya dipintas tiga kereta dari arah depan, sisi dan belakang sejurus menghampiri destinasi.

“Tiga individu keluar dari dua kereta, dua lelaki dan seorang wanita. Seorang lagi tidak keluar dari kereta ketiga.

“Kedua-dua lelaki memakai vest bertulis ‘polis’, manakala wanita itu berpakaian seragam polis.

“Mereka mendekati kereta saya dan memaklumkan ingin menahan wanita itu untuk siasatan, kononnya susulan satu laporan polis,” katanya menurut Harian Metro.

Kok berkata, penumpangnya enggan keluar menyebabkan wanita berpakaian polis itu cuba menariknya dari tempat duduk belakang, sebelum dua lelaki memberi jaminan dia hanya akan dibawa ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

“Sebaik dia setuju keluar, dia serahkan RM100 sebagai bayaran tambang. Saya dipaksa tekan butang lengkapkan perjalanan, kemudian mereka ambil kad pengenalan, lesen memandu dan nombor telefon saya,” katanya sambil menambah beliau membuat laporan polis kerana mengesyaki ada sesuatu tidak kena dan tidak dapat bekerja selama dua minggu sementara menunggu lesen baharu siap.

Semalam, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat dakwaan Ling dilarikan individu menyamar anggota polis dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa pula dilaporkan berkata, tiada permintaan wang tebusan diterima berhubung kehilangan wanita itu setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.