
Menurut sumber, kejadian penderaan itu dikesan susulan seorang wanita berusia 22 tahun menghantar bayinya ke Hospital Alor Gajah kerana mendakwa anaknya diserang sawan.
Katanya, sebaik tiba di hospital, bayi malang itu didapati tidak sedarkan diri sebelum wanita terbabit menghilangkan diri.
“Bayi tersebut terus dirujuk ke Hospital Melaka. Namun, pemeriksaan dilakukan doktor pakar menemui kesan lebam, luka pada badan, dan leher, serta pendarahan lama dan baharu dalam kepala bayi itu,” katanya menurut Kosmo.
Menurut laporan, bayi itu sedang dirawat di unit rawatan rapi kanak-kanak.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka Zulkiflee Rashid mengesahkan menerima laporan berkenaan dan memaklumkan pihaknya telah menahan ibu bapa bayi tersebut yang masing-masing berusia 22 tahun untuk siasatan lanjut.