Sabah tak harus tiru atau tolak mana-mana pihak secara melulu, kata Salleh

Sabah tak harus tiru atau tolak mana-mana pihak secara melulu, kata Salleh

Veteran Umno Sabah nafi membayangkan Sabah harus tunduk kepada parti nasional dan berkata kestabilan politik adalah menerusi kerjasama yang 'jujur dan ikhlas'.

Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak berkata Sabah mesti memilih pendekatan yang sesuai berdasarkan konteks dan realiti politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Veteran Umno Sabah Salleh Said Keruak menafikan beliau mengatakan parti di negeri itu harus tunduk kepada parti nasional demi kestabilan, selepas dituduh menghina rakyat Sabah dalam kenyataannya mengenai model autonomi Sarawak baru-baru ini.

Salleh berkata, tuduhan sedemikian adalah tidak wajar. Beliau berkata apa dimaksudkannya ialah kestabilan politik dengan membina kerjasama yang ‘jujur dan ikhlas’ antara Sabah dan kerajaan persekutuan.

“Sarawak mempunyai model tersendiri, begitu juga dengan Sabah. Kita perlu memilih pendekatan yang sesuai dengan konteks dan realiti politik Sabah, bukan sekadar meniru atau menolak mana-mana pihak secara mutlak.”

Terdahulu, Daily Express melaporkan bahawa presiden sebuah NGO menuduh Salleh menghina rakyat Sabah dengan mencadangkan bahawa kestabilan datang daripada penyerahan kepada parti persekutuan, apabila Salleh mencadangkan Sabah tidak boleh mengikut model autonomi Sarawak.

Daniel John Jambun, dari Borneo’s Plight in Malaysia Foundation, berkata kenyataan Salleh telah mengkhianati janji penubuhan Sabah bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan merupakan penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat.

Salleh, bekas ketua menteri, berkata pada Isnin bahawa Sabah tidak mampu mencontohi Sarawak untuk menolak parti nasional selepas Pakatan Harapan (PH) dikatakan boleh diterima di Sabah, tetapi bukan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, perbezaan pendapat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan serangan peribadi.

“Politik harus dibina atas wacana yang sihat dan berasaskan gagasan, bukan kebencian,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.