
Pengerusi kumpulan GP swasta MMA, Dr Parmjit Singh Kuldip Singh, berkata perhimpunan itu akan diakhiri dengan satu perarakan ke Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan satu memorandum.
Beliau berkata pihak berkuasa yang berkaitan, termasuk polis, telah dimaklumkan secara rasmi mengenai perhimpunan pada Selasa ini.
“Perarakan simbolik ini adalah untuk menyuarakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati mendalam daripada kalangan profesion perubatan terhadap banyak persoalan yang belum dijawab mengenai pelaksanaan paparan harga ubat dan isu yuran konsultasi GP swasta yang belum diselesaikan.
“Kami ingin menegaskan bahawa doktor tidak menentang ketelusan harga tetapi sangat menentang penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan,” katanya dalam kenyataan, merujuk kepada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian tidak menghalang GP daripada menyertai perarakan itu dan sedia menerima memorandum yang akan disampaikan.
Namun, beliau berharap para doktor akan memahami bahawa beliau dan kementerian telah berjuang bagi pihak mereka untuk semakan semula yuran GP.
MMA sebelum ini mengkritik Putrajaya kerana meneruskan penguatkuasaan peraturan paparan harga ubat dan gagal berunding dengan kumpulan GP serta melaksanakan dasar itu di bawah undang-undang yang tidak berkaitan dengan kesihatan.
Mereka berpendapat peraturan itu sepatutnya tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 dan mahu ia ditangguhkan sehingga yuran GP disemak semula seperti yang dijanjikan.
Semalam, Dzulkefly berkata semakan yuran GP akan dimuktamadkan menjelang bulan depan, dengan satu memorandum Kabinet dan pekeliling dijangka dibentangkan tidak lama lagi.
Yuran konsultasi itu tidak berubah dalam sejak 30 tahun yang lalu.
Pada 30 April, Dzulkefly dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali mengumumkan bahawa langkah mewajibkan pemaparan harga ubat di pusat perubatan swasta akan berkuat kuasa pada 1 Mei.