
Amaran itu dikeluarkan selepas satu video tular memaparkan tiga individu menaiki skuter elektrik di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran Bachang di Melaka, lapor Bernama.
“Perbuatan berkenaan melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada individu terlibat, tetapi juga pengguna jalan raya lain,” kata Timbalan Pengarah JPJ Melaka, Khairul Aswad Abdul Halim.
Khairul berkata menurut peruntukan di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang menggunakan kenderaan tidak dibenarkan di atas jalan awam boleh disabitkan kesalahan.
Katanya, jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.
Beliau berkata kenderaan mikromobiliti termasuk e-skuter, hoverboard, monowheel, segway, basikal elektrik tanpa kelulusan adalah dilarang digunakan di jalan raya berdasarkan Perintah Larangan Kenderaan (Penggunaan Jalan) (Pindaan) 2021.
“Kenderaan mikromobiliti hanya dibenarkan digunakan di kawasan yang dikhaskan seperti taman rekreasi, laluan khas atau kawasan persendirian dan bukan di atas jalan awam,” katanya.
Beliau menyeru ibu bapa memainkan peranan memantau pergerakan anak-anak, khususnya berkaitan penggunaan kenderaan mikromobiliti.