11 lagi suspek kes gaduh Bintulu diburu

11 lagi suspek kes gaduh Bintulu diburu

Polis berkata hingga semalam sembilan individu terdiri lapan lelaki dan seorang wanita ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

garisan kuning
Pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Bintulu pada 27 April lalu mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 28 tahun.
BINTULU:
Polis giat memburu 11 lagi suspek masih bebas, dipercayai terlibat kes pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan di sebuah pusat hiburan, 27 April lalu.

Ketua Polis Bintulu, Nixon Joshua Ali, berkata hingga semalam, sembilan individu terdiri lapan lelaki dan seorang wanita, berusia lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan dan direman bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati terdapat 11 suspek lain yang masih bebas dan dipercayai terlibat dalam insiden sama. Polis tidak akan berkompromi dan komited dalam mengesan semua suspek ini,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nixon mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat spekulasi mengenai kes itu dan maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Mohammad Hashim Kasman di talian 014 6817837 atau bilik gerakan IPD Bintulu di 086 318304.

Dalam kejadian sekitar 1 pagi itu, satu pergaduhan dilaporkan berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan, mengakibatkan kematian seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun.

Mangsa ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan dikejarkan ke sebuah hospital swasta, sebelum dibawa ke Hospital Umum Bintulu dan kemudian disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.