Budak maut, 10 cedera nahas 3 kenderaan

Budak maut, 10 cedera nahas 3 kenderaan

Kanak-kanak lelaki 10 tahun maut selepas kenderaan dipandu ibu masuk laluan bertentangan.

Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman, berkata seorang mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala dalam nahas tiga kenderaan, di KM44.2, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak berusia 10 tahun maut, manakala 10 lagi cedera dalam nahas tiga kenderaan di KM44.2, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, malam tadi.

Ketua Polis Kota Tinggi Yusof Othman, berkata mangsa yang maut menaiki kereta Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, dalam kemalangan turut membabitkan Perodua Alza dan Toyota Corolla Cross.

Katanya, siasatan awal mendapati apabila pemandu Proton Saga, seorang wanita tempatan berusia 47 tahun yang dalam perjalanan dari arah Rompin menuju ke Kota Tinggi, dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Proton Saga itu membawa lima penumpang berusia tujuh hingga 87 tahun termasuk mangsa, iaitu anak kepada pemandu terbabit yang duduk di bahagian penumpang belakang.

“Mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menurut Harian Metro.

Yusof berkata, turut cedera pemandu Perodua Alza, lelaki berusia 34 tahun dan lima penumpang berusia antara tiga hingga 54 tahun.

Dalam pada itu, pemandu Toyota Corolla Cross berusia 33 tahun yang memandu seorang diri juga cedera.

“Semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk menerima rawatan lanjut, manakala mayat kanak-kanak terbabit dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat.”

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.