Penganggur didakwa edar syabu lebih 20kg

Penganggur didakwa edar syabu lebih 20kg

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammad Nur Hazreq
Muhammad Nur Hazreq Kairuddin dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan mengedar syabu lebih 20kg bulan lalu.

Sinar Harian melaporkan Muhammad Nur Hazreq Kairuddin, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nurasidah A Rahman.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa mengedar syabu seberat 20.712kg di jeti Minyak Beku, Batu Pahat sekitar 7 malam 21 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika tidak dikenakan hukuman mati.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia pada 30 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, M Kumar, dilaporkan berkata tertuduh ditahan di jeti Batu Pahat dan 20 bungkus syabu lebih 20kg bernilai RM662,000 ditemui dalam sebuah pikap.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum dihantar ke negara jiran melalui jalan laut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.