Luas pasaran ke Asia Tengah untuk kekang ancaman tarif, kata Saifuddin

Luas pasaran ke Asia Tengah untuk kekang ancaman tarif, kata Saifuddin

Bekas menteri luar berkata komuniti perniagaan perlu keluar zon selesa dan meneroka pasaran berpotensi.

Saifuddin Abdullah
Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah berkata perdagangan intra-Asean mesti diperkukuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS.
PETALING JAYA:
Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah menyeru Malaysia melihat kepada Asia Tengah sebagai pasaran berpotensi, berikutan cadangan pengenaan tarif 24% ke atas eksport negara oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam wawancara bersama FMT, Saifuddin berkata rantau itu – merangkumi Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan, dan Uzbekistan – mempunyai potensi besar belum diteroka, terutama sektor minyak dan gas.

“Negara Asia Tengah sedang berkembang maju. Mereka mempunyai Pertubuhan Negara-negara Turki (OTS), meliputi lima negara anggota.

“Petronas pernah berada di satu ke dua negara berkenaan, namun kini tidak lagi aktif di sana. Negara ini tidak dieksploitasi sepenuhnya dalam sektor minyak dan gas,” katanya.

OTS adalah badan antara kerajaan ditubuhkan pada 2009 bagi mempromosi kerjasama antara negara berbahasa Turki berdasarkan ikatan budaya, sejarah, dan bahasa.

Ahli penuhnya termasuk Azerbaijan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Turki, dan Uzbekistan, dengan Hungary, Turkmenistan, dan Republik Turki Cyprus Utara sebagai pemerhati.

Setakat 2024, hanya sekitar 20-25% sumber hidrokarbon Asia Tengah dieksploitasi, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS dan Kajian Statistik Tenaga Dunia BP.

Sebagai contoh, Turkmenistan menghasilkan hanya tiga juta kaki padu gas asli setahun daripada simpanan 400 trilion kaki padu, manakala Kazakhstan mengeluarkan kurang dua juta tong minyak sehari daripada jumlah simpanan sebanyak 30 bilion tong.

Kegiatan pengeluaran di rantau tersebut rendah kerana infrastruktur eksport terhad, kurangnya pelaburan, kemudahan usang serta kekangan geopolitik, termasuk kebergantungan laluan transit Rusia dan kekurangan kerjasama asing yang pelbagai.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, turut menggesa perdagangan intra-Asean diperkukuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada AS, sambil maklum kurang daripada 25% daripada jumlah eksport keseluruhan blok serantau itu.

Beliau menekankan kepentingan yang semakin meningkat melibatkan BRICS, dengan menyatakan Malaysia harus kekal terbuka dan meneroka alternatif kepada tatanan sistem kewangan, perdagangan, dan ekonomi antarabangsa.

Malaysia antara sembilan negara yang secara rasmi diterima sebagai rakan BRICS sejak 1 Jan tahun ini.

Saifuddin menyeru masyarakat perniagaan Malaysia supaya lebih berani meneroka pasaran baharu, berbanding berterusan beroperasi dalam rantau sedia ada.

Pemimpin Bersatu itu berkata, Malaysia boleh bertindak sebagai saluran utama perdagangan antara Asia Timur dan Barat, terutamanya dengan memanfaatkan reputasi globalnya dalam sektor halal.

“Satu daripada kekuatan terbesar kita adalah pensijilan halal. Kita berkemungkinan yang terbaik di dunia, dan kita masih menerajuinya dalam bidang berkenaan.

“Taiwan antara lain juga berminat dengan pensijilan halal kerana melihat Malaysia sebagai pintu masuk ke dunia Arab. Begitu juga negara Arab melihat Malaysia sebagai pintu ke Asia Tenggara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.