Jangan lagak kita besar sangat, Yong nasihat sekutu gabungan GRS

Jangan lagak kita besar sangat, Yong nasihat sekutu gabungan GRS

Presiden SAPP beri amaran jangan perkecilkan Usno supaya tidak jadi seperti BN Sabah pada 2018.

yong teck lee
Presiden SAPP Yong Teck Lee menasihatkan ‘pemimpin junior tertentu’ dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah supaya jujur dengan diri mereka sendiri tentang kekuatan parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee menasihatkan sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya kekal merendah diri, selepas sebuah parti komponen mendakwa diperlekehkan apabila meminta kerusi pada PRN akan datang.

Yong yang juga bekas ketua menteri berkata, pemimpin junior tertentu dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah terutamanya harus jujur dengan diri sendiri tentang kekuatan parti mereka.

“Kita jujurlah dengan diri sendiri, gabungan GRS ini tidaklah sekuat Barisan Nasional (BN) sebelum PRU 2018 dahulu. Tetapi, ada pemimpin junior Gagasan Rakyat berlagak, bercakap seolah-olah besar sangat macam Umno pada zaman kegemilangannya sebelum 2018,” katanya, lapor The Borneo Post.

Awal minggu ini, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Pandikar Amin Mulia berkata, partinya mungkin akan bergerak solo jika ia terus diketepikan dalam GRS.

Bekas speaker Dewan Rakyat itu berkata, Usno diperlekehkan oleh beberapa pemimpin GRS selepas menuntut kerusi untuk ditandingi pada PRN.

Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Bingor Rafie Robert berkata, mana-mana parti komponen GRS boleh sahaja berundur jika tidak berpuas hati, manakala Timbalan Ketua Kiulu George Teo berkata, Usno harus bersyukur kerana GRS memberi parti itu talian hayat dengan membenarkannya menyertai gabungan.

Yong menasihatkan kedua-dua pemimpin itu membaca perkembangan politik pada 2018, merujuk kemerosotan BN di negeri itu selepas Upko keluar daripada gabungan itu.

Beliau berkata, Upko sebelum ini dicabar oleh Umno Sabah untuk meninggalkan BN. Apabila parti itu akhirnya berbuat demikian pada 2018, BN Sabah kehilangan kuasa kepada Warisan yang kemudian membentuk kerajaan negeri.

“Masa adalah segala-galanya,” kata Yong.

Beliau berkata, mereka sebaliknya harus mencontohi keterangkuman dan kejujuran presiden parti, Hajiji Noor, dalam menilai kekuatan dan kelemahan GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.