
Exconya Na’im Brundage berkata, dakwaan itu tidak berasas dan bercanggah undang-undang sedia ada.
“Akta Pembangunan Petroleum 1974 dengan jelas telah memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di Malaysia, termasuk di Sarawak.
“Berdasarkan fakta ini, Petronas tidak sepatutnya memerlukan sebarang lesen atau permit daripada kerajaan Sarawak untuk menjalankan sebarang operasi yang membabitkan petroleum di negeri tersebut,” kata pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Bersatu dalam kenyataan.

Terdahulu, dilaporkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam suratnya bertarikh 30 April, menuduh anak syarikat Petronas itu melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Dalam surat itu, Carigali didakwa mengoperasikan MCOT tanpa lesen dikeluarkan negeri dan diberikan 21 hari menyelesaikan perkara berkenaan, jika gagal akan dikenakan penalti kewangan bawah Seksyen 21A.
Sementara itu, Na’im berkata pihaknya mengingatkan semua pihak pada 1976, kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian rasmi dengan persekutuan yang memindahkan hak milik dan kawalan terhadap sumber petroleum negeri itu kepada Petronas.
Katanya, sebarang tuduhan bahawa Petronas beroperasi secara haram di Sarawak jelas tidak berasas dan bercanggah fakta perundangan.
“Pemuda Bersatu juga ingin menyatakan rasa kesal yang mendalam terhadap kelemahan kerajaan persekutuan menangani isu antara Petronas dan kerajaan Sarawak.
“Kegagalan untuk mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada dipercayai akan menyebabkan kerugian besar kepada negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Katanya, Pemuda Bersatu menyeru semua pihak menghormati semangat persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan negara demi kepentingan bersama seluruh rakyat.