
Ketua Penerangan Razeef Rakimin berkata demikian selepas media memetik Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, sebagai berkata PH sudah bersetuju dengan kerusi yang BN mahu bertanding.
BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN pada PRN tahun ini, menurut laporan Berita Harian hari ini.
“Kami tidak tahu dari mana Suhaimi dapat angka 40 kerusi dan kita tidak tahu dengan siapa beliau berbincang,” menurut kenyataan.
Razeef berkata PH masih belum bertemu BN mahupun Gabungan Rakyat Sabah secara rasmi bagi membincangkan isu kerjasama pilihan raya, “apatah lagi agihan kerusi”.
“Biarlah perkara ini dibincangkan dalam pertemuan rasmi,” katanya.
Suhaimi dilapor berkata BN mahu bertanding 40 kerusi manakala baki 33 kerusi diberikan kepada PH. Malah, menurutnya, proses saringan calon sedang berlangsung ketika ini.
Pada 25 Apr lalu, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, dilapor berkata rundingan dalaman dengan PH berkait kerjasama dalam PRN akan datang telah pun bermula.
Menurut Daily Express, Bung berkata kedua-dua pihak memberi maklum balas positif terhadap idea kerjasama tersebut, dan perbincangan kini tertumpu kepada perincian teknikal bagi menyelaras strategi.