
Suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan pada 2 pagi di Pulau Pinang selepas dipercayai berperanan sebagai rakan kongsi atau proksi yang menerima wang daripada dalang utama sindiket berkenaan.
Menurut sumber, wang terbabit dipercayai diterima bagi tujuan pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan haram skim pelaburan terbabit.
“Ketika ditahan, suspek dipercayai baharu sahaja pulang ke tanah air melalui pintu masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Buat masa ini, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di Lokap Berpusat Jinjang hari ini,” katanya, menurut Berita Harian.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Muhammed Hasbullah Ali mengesahkan penahanan berkenaan.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan setakat ini tiada penggeledahan atau rampasan dilakukan terhadap suspek terbabit.
Individu terbabit adalah penahanan terbaru susulan Op Northern Star siri kedua sekitar Lembah Klang dan utara tanah air pada 18 April lalu.
Menerusi operasi itu, lima termasuk seorang Tan Sri dan Datuk Seri ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pelaburan Ponzi di sebuah negara jiran.
Antara aset yang dibeku dan disita ialah tiga dusun durian di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah yang meliputi keluasan 363 hektar dengan nilai keseluruhan RM223.6 juta.
Turut disita dalam operasi itu ialah 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta dan 12 kenderaan mewah, menjadikan jumlah keseluruhan aset dibekukan dan disita dalam dua siri operasi mencecah RM3.5 bilion.
Aset yang disita itu dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan MBI.