
Bercakap dalam forum Hari Pekerja hari ini, Amira berkata naluri generasi muda kini lebih cenderung meneruskan kehidupan berbanding memperjuangkan hak mereka seperti generasi terdahulu.
“Kita perlu akui bahawa cabaran yang dihadapi golongan muda hari ini berbeza dengan generasi terdahulu. Mereka terbeban dengan hutang pendidikan dan kenaikan kos sara hidup.
“Mereka perlu fikir soal rezeki untuk keluarga dahulu. Itu keutamaan mereka. Sukar untuk mereka fikirkan soal lain,” katanya dalam forum yang bertajuk ‘Sejarah, Hak dan Tanggungjawab Pekerja dalam Demokrasi’.
Adun Puteri Wangsa itu berkata pekerja muda masa kini lebih cenderung meluahkan ketidakpuasan hati mereka melalui media sosial berbanding melalui kesatuan sekerja.
“Fakta bahawa gerakan di media sosial semakin besar patut diraikan dan dimanfaatkan.
“Ahli politik sepatutnya mendengar aduan ini dan perjuangkannya,” katanya.
Seorang lagi ahli panel, Penyelidik Kanan DM Analytics Malaysia, Zouhair Rosli, berkata ramai pekerja muda melihat kesatuan sekerja terlalu sibuk dengan urusan politik.
“Ada kesatuan yang langsung tak berguna, sibuk bermain politik perkauman dan memuji kerajaan. Bila pekerja buat aduan, mereka simpan bawah laci,” katanya.
Zouhair turut berkata peluang pekerjaan untuk graduan masih tidak mencukupi, dan banyak majikan menolak mereka dengan alasan tiada kemahiran asas.
“Tapi ini tidak betul. Adakah ayah dan datuk kita ada kemahiran asas ketika mula bekerja?
“Kalau kata mereka kurang kemahiran asas, kenapa tak beri mereka kerja dahulu? Mereka membangunkan asas ini kemudian,” katanya.