Scammer tipu pengurus akaun RM1.36 juta

Scammer tipu pengurus akaun RM1.36 juta

Warga emas berusia 70 tahun itu dijanjikan pulangan sehingga 15% dengan melabur menerusi aplikasi.

Hamzah Ahmad
Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata skim pelaburan secara dalam talian adalah ‘sangat berisiko’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengurus perakaunan kerugian RM1.36 juta akibat terpedaya pelaburan dalam talian melalui aplikasi ‘BIONM’ menjanjikan pulangan lapan hingga 15%.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad, berkata mangsa berusia 70 tahun telah melakukan 14 transaksi ke akaun berbeza, selepas melihat iklan pelaburan berkonsepkan jual beli saham di bursa melalui aplikasi Whatsapp.

Katanya, pada 28 April, mangsa membuat aduan di IPD Barat Daya apabila menyedari diminta membuat bayaran tambahan RM1 juta untuk komisen bagi pengeluaran keuntungan kononnya sehingga RM11 juta.

“Mangsa yang berminat diminta memuat turun aplikasi BIONM, mendaftar sebagai ahli dan seterusnya melabur melalui aplikasi tersebut.

“Mangsa mula menyedari dirinya diperdaya apabila diminta membuat bayaran tambahan RM1 juta sebagai komisen kepada pihak BIONM,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Hamzah mengingatkan penyertaan dalam mana-mana skim pelaburan khususnya ditawarkan secara dalam talian adalah ‘sangat berisiko’ dan menyeru orang ramai membuat semakan dulu dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.