
Tertuduh, Okenyehke Kelvin Obianke berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah telinga Danierul Azraq Ahmad Khair, Jumaat lalu.
Kesalahan didakwa berlaku di hadapan sebuah klinik di Metro Prima, Kepong.
Jika sabit kesalahan, Okenyehke boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Ketika mahkamah menyoal apakah pengakuan ingin dibuat, Okenyehke pada mulanya ingin mengaku salah.
“Ia tidak disengajakan,” katanya.
Pertuduhan dibaca semula kepada Okenyehke, namun dia mengaku tidak bersalah.
Majistret S Mageswary tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 10 Jun sebutan semula kes.
“Anda boleh melantik peguam (sebelum 10 Jun),” katanya.
Di mahkamah berasingan, Okenyehke memilih dibicarakan bagi pendakwaan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai permit sah memasuki Malaysia, dan satu pertuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya kerana penggunaan nimetazepam.
Kedua-dua kesalahan berlaku pada hari sama.
Majistret Atiqah Mohamed tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 23 Jun sebutan semula kes.