
Wan Azri berbuat demikian sebelum prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bermula.
Dalam kenyataan yang dibacakan di mahkamah, Wan Azri yang juga seorang bekas polis menyatakan kekesalannya kerana menggunakan kata-kata berunsur menghina ketika merujuk kepada Razarudin dalam sebuah hantaran media sosial pada 14 Jan.
Dia turut memohon maaf kerana menyiarkan gambar Razarudin yang disunting di platform media sosial sama pada hari berikutnya.
“Saya juga berjanji tidak akan menggunakan kata-kata yang (berunsur) menghina plaintif (Razarudin),” katanya.
Gan berkata, Wan Azri akan menyiarkan kenyataan permohonan maafnya di YouTube, Telegram, X dan TikTok selama tujuh hari bermula hari ini.
Beliau mengarahkan Wan Azri untuk menurunkan hantaran dibuat pada 14 dan 15 Jan, yang menjadi subjek prosiding hina mahkamah.
Gan turut mengarahkan Wan Azri membayar kos RM5,000.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan selama empat hari bermula 28 Dis 2026.
S Raam Kumar dan Norleena Jamal mewakili Razarudin selaku peguam manakala Rafique Rashid Ali dan Nurmustanir Nor mewakili Wan Azri.
Pada 10 Feb, Razarudin mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Wan Azri kerana gagal mematuhi perintah mahkamah.
Razarudin yang memfailkan permohonan itu pada 24 Jan mahu Wan Azri dipenjarakan atau didenda kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah injunksi yang dikeluarkan pada 10 Jan.
Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarang Wan Azri atau wakilnya menyiar atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Razarudin di mana-mana platform media sosial sehingga saman fitnah selesai.
Mahkamah turut melarang penulis blog itu dan wakilnya daripada menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video, status, komen atau sebarang rujukan terhadap plaintif.
Bahan-bahan ini berkaitan dengan kedudukan Razarudin sebagai ketua polis negara dan dalam kapasiti peribadinya, sama ada secara bertulis, lisan, dalam talian atau melalui platform mesej segera seperti Telegram dan WhatsApp.
Wan Azri juga diperintahkan untuk menarik balik, membuang dan memadamkan siaran video di akaun YouTube, TikTok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Dis tahun lepas, yang mengandungi kenyataan didakwa berunsur fitnah terhadap Razarudin.
Pada 26 Dis tahun lepas, Razarudin memfailkan saman RM3 juta terhadap Wan Azri atas dakwaan memfitnah, yang turut melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.