‘Bukan sebab mereka benci saya’, Sanusi ulas penutupan kilang tayar

‘Bukan sebab mereka benci saya’, Sanusi ulas penutupan kilang tayar

Menteri besar Kedah berkata dakwaan pelabur meninggalkan negeri itu kerana pentadbirannya tidak berasas dan bersifat politik semata-mata.

Isnin lalu Continental mengumumkan akan menghentikan operasi kilang tayarnya di Alor Setar menjelang akhir tahun ini. (Gambar Continental)
PETALING JAYA:
Sanusi Nor menegaskan keputusan pengeluar tayar dari Jerman, Continental menghentikan operasi kilangnya di Alor Setar tiada kaitan kerajaan negeri atau isu politik sebaliknya atas dasar pertimbangan perniagaan.

Menteri besar Kedah berkata, dakwaan pelabur meninggalkan negeri itu kerana pentadbirannya tidak berasas dan bersifat politik semata-mata.

“Saya harap mereka yang sebar fitnah ini insaf dan beringat balasan di akhirat. Fitnah ini menyesatkan orang ramai. Dalam dunia moden ini, hujah sepatutnya dilawan dengan hujah, bukan dengan naratif palsu.

“Continental pun sudah beberapa kali jumpa saya sebelum ini. Penutupan ini adalah urusan perniagaan, bukan sebab mereka benci saya atau kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, menurut Berita Harian.

Sanusi mengulas dakwaan daripada akaun TikTok, konon penutupan kilang itu berpunca daripada dasar kerajaan negeri sekali gus menyebabkan pelabur meninggalkan Kedah.

Isnin lalu Continental mengumumkan akan menghentikan operasi pembuatan tayar di kilang Alor Setar menjelang akhir tahun ini.

Keputusan itu dibuat selepas semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan untuk melindungi daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat di rantau Asia-Pasifik.

Menurut Continental, fasiliti di Kedah yang mengeluarkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan dan motosikal mempunyai seramai 950 pekerja.

Sementara itu, Sanusi berkata 70% keluaran kilang itu adalah untuk tayar kereta penumpang, dan keputusan berpindah ke Thailand dipercayai didorong oleh pertimbangan kos serta keperluan operasi global syarikat berkenaan.

“Continental buat tayar untuk kereta penumpang. Saingan daripada China sangat kuat dari segi harga dan teknologi. Malah, syarikat Jerman sendiri sekarang fokus kepada tayar berteknologi tinggi seperti kereta lumba dan industri berat,” katanya.

Katanya, sebuah syarikat lain menyatakan minat untuk mengambil alih tapak kilang berkenaan namun rundingan masih berjalan secara tertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.