Bekas pekerja gudang ditahan curi cip bernilai RM120,000

Bekas pekerja gudang ditahan curi cip bernilai RM120,000

Lelaki dipercayai curi lapan unit cip dari stor syarikat elektronik, jual kepada individu tak dikenali.

handcuff
Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di pekarangan Balai Polis Teluk Kumbar hari ini bagi membantu siasatan kes kecurian cip di Bayan Lepas. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pekerja gudang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian komponen cip bernilai RM120,000 milik sebuah syarikat elektronik multinasional yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Teluk Kumbar hari ini bagi membantu siasatan kes.

“Siasatan awal mendapati pihak syarikat membuat semakan audit dalaman dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mengenal pasti suspek yang merupakan bekas pekerja sebagai individu yang mencurigakan,” katanya, lapor Bernama.

Menurut Sazalee, suspek dipercayai mengambil lapan unit cip jenis PMU0123 dari stor syarikat dan menjualnya kepada individu tidak dikenali di kawasan hentian bas berdekatan sebuah kilang di situ.

Selain menahan lelaki itu, polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 12 Pro Max miliknya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pembeli cip.

Lelaki yang ditahan itu kini direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.