PTPTN selesai pinjaman pelajar maut kemalangan bas di UUM

PTPTN selesai pinjaman pelajar maut kemalangan bas di UUM

Pinjaman Manarina Hasya Muhamad Karim berjumlah RM12,600 diselesaikan menerusi skim perlindungan Takaful.

Felda Chemplak,
Wakil PTPTN melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Manarina Hasya Karim di Felda Chemplak di Labis, Johor. (Gambar PTPTN)
KUALA LUMPUR:
Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Manarina Hasya Muhamad Karim yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan dua bas di kampus itu bulan lepas, mendapat penyelesaian keseluruhan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM12,629.82.

PTPTN dalam kenyataan memaklumkan Manarina, 22, mendapat penyelesaian bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda itu melalui Skim Perlindungan Takaful Berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN.

“PTPTN dengan penuh rasa simpati melalui Program Ziarah PTPTN Prihatin telah menziarahi waris kepada mangsa tragedi nahas ini, yang berlaku di hadapan perhentian bas dekat Jalan Persiaran Perdana, UUM.

“Sesi ziarah dan penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan di kediaman waris di Felda Chemplak, Labis, Johor yang disempurnakan Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Zawiah Wan Abu Bakar, yang mewakili pengerusi dan pengurusan PTPTN,” kata kenyataan itu.

PTPTN dalam kenyataan sama memaklumkan waris juga akan menerima khairat kematian berjumlah RM1,500 serta sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM2,000 serta kotak makanan.

“Tragedi pada 19 April telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Manarina. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited melaksanakan program CSR dan menjaga kebajikan peminjamnya.

“PTPTN menyampaikan rasa simpati kepada keluarga Manarina. Semoga manfaat yang diterima melalui skim perlindungan Takaful berkelompok pinjaman pendidikan PTPTN, dapat memberikan sedikit kelegaan dan sokongan kepada waris dalam waktu yang sukar ini,” kata kenyataan itu.

Perlindungan takaful berkelompok, bertujuan melindungi jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan PTPTN kepada peminjam untuk tempoh 24 jam sehari dan meliputi seluruh dunia, sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal menyeluruh.

Bagi mana-mana peminjam yang telah meninggal dunia atau mengalami keilatan, waris atau penuntut perlu membuat tuntutan dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful yang boleh diperolehi melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.

Borang Permohonan Tuntutan Takaful beserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan ke Pejabat PTPTN Negeri atau cawangan yang berhampiran atau diposkan ke Ibu Pejabat PTPTN, Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.