Ibu budak ‘luar biasa’ Shairid kritikal akibat strok

Ibu budak ‘luar biasa’ Shairid kritikal akibat strok

Siti Azah Mohd Zainal kini ditidurkan selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

family
Siti Azah Mohd Zainal bersama Shairid dan empat lagi anaknya (dari kiri) Nursyifa Syafina, Norqisha Elina, Muhammad Shahfikri dan Muhammad Shahfrizal.
PETALING JAYA:
Ibu kepada kanak-kanak istimewa yang mengalami kecacatan tulang belakang dan sukar berjalan, Muhammad Shairid Hadif Ridhuan Shah, 5, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami serangan strok.

Siti Azah Mohd Zainal, 38, dilaporkan diserang strok pada Sabtu lalu dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Menurut kakaknya, Fadilah Mohd Zainal, 49, Azah yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, sudah sakit dan sukar untuk bangun sejak Jumaat lalu.

“Doktor beritahu Azah mengalami pendarahan dalam otak dan dia menjalani pembedahan sekitar tengah malam tadi (semalam). Doktor juga beritahu Azah terpaksa ditidurkan sebab oksigen sudah tak dapat sampai ke otaknya.

“Kami sekarang menantikan ada perkembangan positif dari Azah dan berharap orang ramai mendoakan adik saya cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi FMT.

Menurutnya, lima orang anak Azah iaitu Shairid serta abang dan kakaknya, Muhammad Shahfikri, 16, Norqisha Elina, 13, Nursyifa Syafina, 10, Muhammad Shahfrizal, 8, kini dijaga oleh ibu saudara mereka.

sharid
Muhammad Shairid Hadif Ridhuan lahir dengan tulang belakang dan kaki yang tumbuh tidak sempurna.

Sebelum ini, kisah Shairid yang lahir dengan tulang belakang dan kaki tidak tumbuh sempurna menyentuh hati warganet apabila video memaparkan gelagat hari pertamanya di Sekolah Kebangsaan Bukit Waha, Kota Tinggi, Johor, pada Februari lalu tular.

Dalam satu temubual dengan FMT, Azah berkata detik itu adalah saat penuh emosi baginya kerana tidak menyangka Shairid yang sejak kecil menghadapi pelbagai cabaran kesihatan, mampu berdikari dan menyesuaikan diri dengan baik di sekolah.

Azah yang juga ibu tunggal berkata beliau enggan anaknya dilihat dengan rasa simpati, justeru berusaha mendidik Shairid supaya berdikari seperti kanak-kanak lain, meskipun berdepan kekangan fizikal dan kesempitan hidup.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga Azah dan anak-anaknya boleh menyalurkan sumbangan ke nombor akaun Hong Leong Bank: 30800046020 atas nama Fadilah Mohd Zainal. Fadilah juga boleh dihubungi di talian 013-7162459.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.