
Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah hari semalam susulan laporan oleh lelaki tempatan.
Menurut Kumarasan, laporan dibuat selepas lelaki itu mendapati mangsa yang juga kenalannya warga Bangladesh berusia 33 tahun, mengalami kecederaan serius pada bahagian kemaluan dan tangan kiri akibat dipotong suspek.
“Hasil siasatan mendapati kejadian bermotifkan cemburu, apabila suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di Bangladesh setelah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengan suspek,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata hasil tangkapan turut membawa kepada rampasan sebilah pisau berukuran 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah manakala mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana masuk dan tinggal tanpa permit sah.