
Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas.
Katanya, ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an dibebaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya Kuala Lumpur dan polis sedang menunggu arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Bernama melaporkan dua pemandu dan seorang pemilik syarikat lori ditahan kerana melakukan intimidasi, menghalang serta membuat ugutan terhadap beberapa anggota JPJ yang menjalankan tugas di Persiaran Perdana, Putrajaya, 12 April lepas.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Muhammad Kifli Ma Hasan berkata kejadian berlaku ketika anggota terlibat menahan dua lori dipercayai membawa lebih muatan yang dalam perjalanan dari arah Dengkil menuju Kajang.
“Semasa dalam cubaan untuk menahan kedua-dua lori itu, kedua-dua pemandu lori telah melakukan intimidasi terhadap anggota JPJ yang bertugas dengan secara tiba-tiba membuang muatan pasir ke jalan raya, namun mujur tiada kemalangan yang berlaku.
“Malah, dua pemandu lori itu turut merosakkan tayar dan alat Sistem Kedudukan Global (GPS) sehingga enjin kenderaan berkenaan tidak dapat dihidupkan dan mereka kemudian turut menghubungi pemilik syarikat lori berkenaan bagi memaklumkan tentang kejadian itu,” katanya.
Tidak lama selepas itu katanya pemilik syarikat tiba di lokasi kejadian bersama tonto dan mula bertindak menghalang tugas JPJ selain mengugut seorang mekanik tayar yang dipanggil JPJ untuk membaiki lori terbabit.
Beliau berkata anggota JPJ terpaksa berkawal dan bermalam selama tiga hari di lokasi kejadian kerana dihalang tonto dan pemilik syarikat sebelum kedua-dua lori itu berjaya di bawa ke Stesen Penguatkuasa Semenyih.