Petronas gagal tangguh saman tuntutan jaminan bekalan gas

Petronas gagal tangguh saman tuntutan jaminan bekalan gas

Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Petronas gagal tunjuk wujudnya keadaan luar biasa untuk tangguhkan prosiding.

kuching
Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 11 Jun ini untuk mendengar saman dikemukakan Petros terhadap Petronas berhubung jaminan bank berkaitan bekalan gas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuching menolak permohonan Petronas untuk menangguhkan semua prosiding undang-undang dalam saman yang dibawa oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung jaminan bank berkaitan bekalan gas.

Keputusan itu membuka jalan untuk saman Petros didengar.

Petros menyaman bagi menghalang Petronas daripada menggunakan dana berjumlah RM7.95 juta yang diterima di bawah jaminan bank yang sebelum ini diberikan oleh Petros berkaitan bekalan gas.

Petros berhujah bahawa tuntutan pembayaran oleh Petronas di bawah jaminan bank itu adalah ‘tidak beretika’ atau ‘tidak sah’.

Perbicaraan saman itu dijadualkan berlangsung pada 11 Jun 2025, lapor Borneo Post.

Dalam keputusannya hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Faridz Gohim Abdullah berkata Petronas gagal menunjukkan wujudnya keadaan luar biasa atau bukti kukuh untuk menangguhkan prosiding.

Mahkamah Tinggi pada 23 April mendengar permohonan Petronas untuk menangguhkan pendengaran saman Petros sementara menunggu penyelesaian kes berkaitan yang dibawa oleh Shell MDS (M) Sdn Bhd terhadap Petronas dan Petros.

Saman Shell MDS bertujuan menentukan syarikat minyak mana yang berhak menerima pembayaran bagi bekalan gas tersebut.

Sementara itu, Petros mempunyai rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Faridz yang enggan membenarkan injunksi interim bagi menghalang Petronas daripada menerima dana di bawah jaminan bank.

Pada Oktober tahun lalu, Petronas membuat tuntutan ke atas jaminan bank selepas menuntut pembayaran berjumlah RM28,136,403.08 daripada Petros bagi bekalan gas yang dibekalkan.

Petros memfailkan saman terhadap Petronas pada 15 Okt 2024.

Syarikat minyak milik kerajaan Sarawak itu juga secara serentak memohon injunksi interim secara ex-parte untuk menghalang Petronas daripada meneruskan tuntutan dan menerima wang di bawah jaminan bank tersebut.

Bagaimanapun, Faridz memutuskan bahawa permohonan injunksi Petros telah menjadi ‘tidak relevan’ memandangkan Maybank Islamic Berhad telah pun membuat pembayaran kepada Petronas di bawah jaminan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.