Contohi Terengganu haramkan vape, Tuan Ibrahim beritahu kerajaan

Contohi Terengganu haramkan vape, Tuan Ibrahim beritahu kerajaan

Timbalan Presiden PAS itu berkata vape beri kesan membimbangkan terhadap kesihatan rakyat berbanding hasil cukai.

vape
Kerajaan Terengganu mengumumkan akan melaksanakan larangan sepenuhnya penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT di seluruh negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan rokok elektronik atau vape seperti dilakukan Johor dan Terengganu.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata langkah itu sepatutnya telah lama diambil tetapi kerajaan hanya mementingkan cukai vape yang besar berbanding kesan lebih membimbangkan terhadap kesihatan rakyat, terutamanya anak muda.

“Pengecualian oleh kerajaan perpaduan terhadap sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan vape daripada Senarai Racun dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 sangat mendukacitakan.

“Sepatutnya, demi kebaikan dan kesihatan generasi masa depan, kerajaan hari ini perlu meneruskan langkah yang telah diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini,” katanya di Facebook.

Katanya, kerajaan Kedah dan Selangor turut dikhabarkan sedang mempertimbangkan untuk memperketatkan kawalan penjualan vape di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Sebelum ini kerajaan Terengganu mengumumkan akan melaksanakan larangan sepenuhnya penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan PBT di seluruh negeri itu, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga menggesa kerajaan untuk berani dan tegas dalam menjaga kesihatan generasi muda demi masa depan negara.

“Jika kesihatan rakyat benar-benar menjadi keutamaan serta mahu menghentikan masalah vape ini, maka pelaksanaan Generational End Game (GEG) adalah langkah yang lebih tepat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.