Tindakan awal selamat nyawa, Selangor kaji wajib AED di kawasan tumpuan

Tindakan awal selamat nyawa, Selangor kaji wajib AED di kawasan tumpuan

Februari lalu Selangor menyediakan 56 unit alat AED untuk ditempatkan di bangunan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan anak syarikat.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin (dua kanan) ketika majlis perasmian program ‘Selangor Heart Safe-Mass CPR AED Training’.
PETALING JAYA:
Selangor sedang meneliti dan dalam fasa perbincangan dengan pihak berkenaan untuk melaksanakan garis panduan mewajibkan penyediaan alat defibrilator luaran automatik (AED) di kawasan tumpuan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, berkata perkara itu akan diteliti lanjut sebelum dilaksanakan bagi memastikan capaian dan edukasi jelas dapat disampaikan kepada seluruh rakyat.

“Saya percaya mungkin antara kita ada yang masih belum tahu apakah itu alat AED dan lebih membimbangkan jika tidak tahu kaedah untuk melaksanakan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR).

“CPR merupakan tindakan awalan yang dapat kita laksanakan bagi menyelamatkan nyawa manakala alat AED pula secara tidak langsung dapat menambah peratusan peluang untuk diselamatkan apabila dilaksanakan secara bersekali dengan CPR,” katanya berucap dalam majlis perasmian program ‘Selangor Heart Safe-Mass CPR AED Training’.

Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Suriani Ahmad.

Jamaliah berkata, Februari lalu Selangor mengorak langkah proaktif dengan menyediakan 56 unit alat AED untuk ditempatkan di bangunan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan anak syarikat.

Katanya, selain sebagai akses kemudahan kepada orang awam ia secara tidak langsung membantu capaian bantuan rawatan awal kepada orang awam yang ditimpa kecemasan di bangunan premis kerajaan negeri selain meningkatkan peluang untuk diselamatkan.

Mengenai program hari ini, Jamaliah berkata inisiatif itu sudah dimulakan Penang Heart Safe Society dan Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat dengan sokongan kuat sektor swasta khususnya Perlis Plantation Berhad (PBB) dan PPB Properties serta kerjasama erat Jawatankuasa Latihan Resusitasi Selangor atau SCORT.

“Gabungan ini telah bekerjasama untuk menggalas satu misi amat penting iaitu meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan CPR serta pentingnya penggunaan alat AED dalam situasi kecemasan.

“Insiden henti jantung boleh berlaku bila-bila masa, kepada sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang umur dan kondisi kesihatan. Dalam kebanyakan kes, peluang untuk terus hidup bukan bergantung kepada doktor atau jururawat sahaja, tetapi kita sebagai orang awam yang kebetulan atau mungkin berada di tempat kejadian dapat mengubah senario tersebut,” katanya.

Menurutnya, dengan adanya inisiatif latihan CPR-AED ini sedikit-sebanyak mendedahkan orang awam kepada aktiviti sebenar di lapangan atau ‘hands on’ kaedah melaksanakan CPR dan menggunakan AED dengan cara dan kaedah betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.