
Katanya, sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini akan menerangkan langkah-langkah yang diambil kerajaan berhubung isu kenaikan tarif diumumkan AS ke atas Malaysia.
Anwar berkata, ia juga membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan kesan tindakan AS terhadap ekonomi negara dan langkah untuk mengatasinya.
“Sebagai negara dagang, tidak ada negara waima Amerika Syarikat yang harus menetapkan kadar (tarif) sewenang-wenangnya mengikut penilaian unilateral mereka. Kita terikat dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ini yang disebut multilateral.
“Kita gabung dengan banyak negara tetapi kita terpaksa terima kenyataan dan tangani dengan bijaksana,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Negeri Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis dekat Kangar.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump mengumumkan negara itu akan mengenakan tarif asas sebanyak 10% kepada semua negara dan duti import lebih tinggi membabitkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24%.
Namun, AS memberi penangguhan selama 90 hari kepada 75 negara termasuk Malaysia.