
Dalam pertandingan tiga penjuru semalam, calon BN Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi, lebih dua kali ganda daripada majoriti 2,213 undi diperoleh gabungan tersebut pada PRU15 2022.
Calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek daripada PAS meraih 6,059 undi manakala KS Bawani yang mewakili Parti Sosialis Malaysia hanya mendapat 1,106 undi.
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata, kejayaan itu membuktikan usaha kerajaan Madani dan kerajaan perpaduan Perak berjaya menambat dan memenangi hati pengundi.
Katanya, jumlah majoriti juga meningkat malah undi diterima lawan iaitu PN merudum dan daripada 20 pusat daerah mengundi, 19 dimenangi kerajaan perpaduan.
“Rakyat terutama di Ayer Kuning menolak kempen bersifat perkauman. Ini memecahbelahkan…rakyat Malaysia menolak, dan khusus di Ayer Kuning mereka tidak boleh menerima dan pilih perpaduan dan lawan perpecahan.
“Cara kempen yang sihat itu sudah pasti menjadi antara punca kenapa pengundi Ayer Kuning pilih perpaduan dan berbeza pihak lawan mereka memilih mungkin topik tidak kena dengan penduduk…dan mereka melakukan aktiviti yang mungkin tidak dirasai bertepatan dengan cita rasa dan kemahuan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Sabah.
Terdahulu, FMT melaporkan penganalisis politik berpendapat terlalu bergantung kepada PAS dan retorik memperjuangkan isu Melayu mungkin menyumbang kekalahan PN pada PRK Ayer Kuning.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, strategi PN kurang berkesan kepada pengundi Melayu sederhana dan demografi pelbagai etnik di Ayer Kuning.
Katanya, PN banyak berkempen menggunakan isu nasional, seperti kos sara hidup, inflasi dan sentimen Melayu-Islam, tetapi gagal memenangi hati pengundi berbilang kaum serta sederhana yang menyokong Pakatan Harapan sebelum ini.
Sementara itu, Fahmi berkata kejayaan di Ayer Kuning menjadi petanda positif namun pihaknya tidak harus leka dan banyak perlu diusahakan bagi memastikan kemenangan boleh diperkukuh.
“Kerajaan Madani perlu diteruskan dan kita teliti apa yang sedang berlaku termasuk kawan-kawan di Sabah yang sudah pasti bertanya apakah hala tuju, kita tunggu daripada kepimpinan utama,” katanya merujuk kerjasama PRN Sabah yang akan berlangsung bila-bila masa tahun ini.